Berita Hangat ! Selamat datang ke laman web SEGA

SEJARAH SEKOLAH

Image result for sejarah smk seri gading
SEJARAH SMK SERI GADING

Sejarah pembukaannya pada tahun 1978, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Parit Haji Hassan (Sekolah Menengah Tun Ismail ll) kerana ia dijadikan cawangan Sekolah Menengah Tun Ismail, Parit Raja. Dengan itu, pentadbirannya diletakkan di bawah kelolaan Pengetua Sekolah Menengah Tun Ismail iaitu En. Rashid bin Haji Ramlan. En. Salihon bin Simin, salah seorang guru Sekolah Menengah Tun Ismail telah dilantik menjadi penyelia sekolah ini sehingga seorang pengetua dilantik.

Nama Sekolah Menengah Rendah Parit Haji Hassan diambil sempena nama kampung yang terletak berhadapan dengan sekolah ini iaitu Kampung Parit Haji Hassan. Tokoh yang telah membuka kampung ini ialah Tuan Haji Hassan bin Haji Saad atau yang juga dikenali dengan nama Tuan Haji Hassan bin Basri.

Sekolah ini memulakan sesi persekolahan pada 4 Januari 1978 dengan 284 pelajar dan 16 orang tenaga pengajar. Sebanyak enam kelas tingkatan satu dan satu kelas peralihan telah dibuka. Pada tahun penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai dua blok bangunan sahaja yang mengandungi bengkel seni perusahaan, makmal, bilik jahitan, bilik masakan, bilik darjah dan kantin. Mata pelajaran asas dan praktikal termasuk Sains Pertanian, Sains Rumah Tangga dan Seni Perusahaan.

Sekolah Menengah Rendah Parit Haji Hassan telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd Suhaimi bin Datuk Haji Kamaruddin D.P.M.S.A.M.N. , Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada hari Selasa 22 September 1981. Pada tahun 1984 tiga blok bangunan tambahan telah dibina bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Blok-blok tersebut mengandungi bilik darjah, makmal, bilik jahitan, bilik pengurusan diri, bilik sakit dan perpustakaan.

Sesi 1991/1992 Sekolah Menengah Parit haji Hassan telah menempa sejarah kerana bermulanya tingkatan empat sebanyak dua kelas. Tingkatan empat aliran Sastera telah dibuka dengan jumlah pelajar seramai 81 orang. Pada sesi 1992/1993, dua kelas tingkatan lima dengan 73 orang pelajar menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat pertama kalinya. Sekolah ini sekali lagi menempa sejarah apabila sesi persekolahan tahun 2000, satu kelas Tingkatan Empat Sains telah dimulakan. Seramai 23 orang pelajar telah menjadi perintis.

Pada akhir tahun 1999 asrama sekolah telah siap dibina yang mengandungi dua blok bangunan tiga tingkat (asrama putera dan puteri), satu blok dewan makan dan sebuah surau. Tujuannya adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar Rancangan Khas dari kawasan berhampiran. Program ini telah dimulakan pada sesi persekolahan pada tahun 2000 dengan membuka dua kelas Rancangan Khas dan melibatkan lebih kurang 100 orang pelajar. Bermula pada bulan Februari 2001, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading atas persetujuan antara pihak pengurusan atau pengelola sekolah dengan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

Bagi menaik taraf kemudahan dan prasarana SMK Seri Gading, beberapa pembaharuan landskap telah mula dilaksanakan. Dewan Seri Gemilang telah dibina pada bulan November 2015 dan digunakan secara rasmi pada Jun 2016. Bilik Pendidikan Khas telah dinaik taraf mulai November 2014 dan telah digunakan mulai Jan 2015. Bilik Pusat Latihan Daerah/PLD pada Februari 2015 untuk Program JDT dan FAM Junior. Bilik Kaunseling dan Anjung Kaunseling dipindahkan di laluan utama bersebelahan kantin pada Jun 2016. Penambahan fungsi penggunaan bumbung belakang bilik seminar menjadi bilik darjah luar kelas mulai Jun 2016.

Bengkel Kemahiran Hidup dinaik taraf menjadi Bilik Seminar mulai Julai 2017. Makmal komputer dinaik taraf fungsinya pada tahun 2017. Perpindahan Bilik Mesyuarat ke Blok A mulai Mei 2017, Bilik Operasi Peperiksaan dipindah dan dinaik taraf ke Blok A pada Julai 2017. Pada tahun 2018, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SEGA mendapat kemudahan bilik baru iaitu Dapur Pendidikan Khas (DPK) yang terletak bersebelahan dengan bilik Seminar. DPK ini mula dibina pada bulan Disember 2017 dan mula beroperasi pada Januari 2018. Selain itu, bangunan koperasi telah berpindah bangunan baru di bahagian belakang di antara blok D dan DPK. Koperasi turut membina satu bangunan baru bersebelahan dengannya sebagai kedai percetakan dan setor barang-barang koperasi SEGA.

Copyright © 2020 SMK SERI GADING | Unit ICT